1. Sememangnya Islam menuntut umatnya sentiasa sihat dan kuat supaya kudrat tersebut dapat disumbangkan ke arah kekuatan Iman. Barangkali semua sudah sedia maklum akan hadis:
“Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai Allah dari mukmin yang lemah…” [Riwayat Muslim].
Fizikal yang sihat menghasilkan kecergasan diri dan nikmat kesihatan yang dapat digunakan untuk membantu agama Allah dan umatnya.
2. Maka kegemukan yang ditegah ialah yang disebabkan tenggelam dalam nikmat dunia serta menyebabkan diri berasa tidak cergas dan malas atau sehingga memudaratkan kesihatan diri.
3. Dalam mafhum hadis riwayat al-Bukhariy dan Muslim, Nabi SAW pernah mengkhabarkan antara ciri-ciri manusia selepas kurun-kurun terawal yang mulia ialah banyaknya berlaku kegemukan.
Namun bukanlah dengan hanya seseorang itu terlebih “BMI”nya maka terus dia dianggap sebagai tercela kerana yang dimaksudkan ialah mereka yang sengaja mencari asbab menggemukkan diri dan gembira dengan obesiti yang dicapai sebagaimana yang disebutkan perinciannya dalam lafaz riwayat al-Tirmidziy.
Bahkan dalam suatu athar yang dinisbahkan kepada ‘Umar bin al-Khattab RA tatkala beliau terlihat seorang lelaki yang boroi, beliau menegurnya: “Apa ini??”, lelaki itu menjawab: “Ini berkat dari Allah”. Lalu ‘Umar pun membalasnya: “Bahkan ini azab!”
4. Manakala kegemukan atau keboroian yang berlaku disebabkan proses semula jadi diluar kawalan insan seperti mempunyai masalah kesihatan, atau usia tua yang menyebabkan metabolisma badan menjadi rendah sekaligus memperlahankan pembakaran kalori dan lemak, maka ini tidaklah tercela.
Bahkan Nabi SAW sendiri tatkala dimamah usia, tubuhnya semakin berisi sehingga memberi kesan terhadap pergerakan solat baginda SAW sebagaimana yang disebut oleh ‘Aisyah RA [riwayat Muslim] dan Um Qays [riwayat Abu Dawud]
5. Justeru, kejarlah apa yang memberi manfaat pada diri kita baik untuk urusan dunia mahupun akhirat, pohonlah bantuan Allah, dan janganlah melemahkan diri kita sendiri dengan berfikiran negatif.
Apa yang penting, saiz badan kita tidak memperlahankan kita dari mencapai kekuatan/kecergasan yang dimaksudkan dalam hadis riwayat Muslim di atas. Kerana kekuatan iman dan fizikal perlulah seiring.
Sumber : Laman Facebook Ust Kamilin Jamilin
iklan berbayar
iklan
0 Response to "Adakah Boroi Itu Suatu Dosa? – Ust Kamilin Jamilin"
Post a Comment