8 Tips Untuk ‘Move On’ Selepas Putus Cinta Manusia agar anda tidak kecewa dengan ketentuanNYA.





Kesedihan daripada hubungan yang terputus di pertengahan jalan ini hanyalah sementara. Anggaplah ia sebagai suatu proses kehidupan untuk menjadikan diri kita lebih matang dalam segala tindakan, sikap, perilaku, kawalan emosi dan sebagainya.





Zaman remaja dan alam percintaan memang tak dapat dipisahkan. Ia seakan suatu perkara ‘wajib’ yang perlu dilalui oleh golongan ini. Walaupun banyak tegahan telah dinyatakan bahawa dalam ajaran Islam, tiada percintaan sebelum pernikahan, namun masih ramai anak muda tidak mengambil peduli akan hal tersebut.
Melainkan, jika seseorang itu ingin mengenali hati budi seseorang disertai dengan niat untuk mengahwininya dan mendapat restu kedua orang tuanya. Dan, sekiranya hubungan keduanya itu sudah pun direstui oleh kedua belah keluarga, mereka masih perlu menjaga batas pergaulan agar tidak berlebih-lebihan dan melanggar syariat.
Namun apa yang dikesalkan, kebanyakan remaja masa kini yang masih ditanggung oleh kedua ibu bapa mereka, ternyata menjadikan rakan perempuan atau rakan lelaki mereka hanya sekadar ‘mainan’, juga untuk bermegah dengan rakan sebaya.
Apabila sampai masanya, ada yang ditinggalkan begitu saja sama ada disebabkan bosan dengan perangai pasangan, atau sudah pun memiliki pasangan lain yang lebih baik atau apa jua alasan. Lalu, bersedihlah bagi mereka yang ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga apabila ditaburkan dengan janji dan omongan kosong oleh pasangan dahulu.
Tidak mustahil, ada dalam kalangan mereka ini yang sanggup membunuh diri dek kerana terlalu sedih, bahkan ada yang sanggup berbunuhan sesama pasangan apabila mendapati pasangan mereka berlaku curang dan pelbagai lagi kes jenayah juvana yang asalnya berpunca daripada percintaan tidak matang ini.
“Bagaimana saya ingin meneruskan hidup tanpa dia?”
“Saya dah cuba lupakan dia, tetapi tak berjaya…”
Begitulah antara keluhan yang wujud dalam kalangan mereka yang putus cinta. Lalu, bagaimana rasa kecewa itu dapat diubati agar ia tidak memakan diri?
Berbekalkan keyakinan yang tinggi untuk meneruskan kehidupan, cuba amalkan lapan tips untuk ‘move on’ ini bagi mereka yang ditinggalkan atau berasa dikhianati oleh pasangan;

1# Mohon Kekuatan Daripada Allah SWT

Mohonlah kepada Allah swt agar memberikan kesabaran dan kekuatan kepada diri kita untuk melupakan si dia serta meneruskan kehidupan. Hati meronta-ronta mengatakan si dia adalah yang terbaik dan layak buat diri anda, namun ingatlah firman Allah swt berikut;
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
Al-Baqarah: 216

2# Bercinta Dengan Allah

Menangis dan merayulah di hadapanNya. Perbanyakkan bacaan al-Quran dan bersolat sunat. Di saat hati resah dan gelisah kerana perpisahan, ambillah waktu untuk menyelak ayat-ayat cintaNya yang menyatakan,
“…hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang.”
Ar-Raad: 8
Rapati dan dekatilah Allah swt secara kerap sama ada melalui solat, zikir atau apa jua cara kerana Dia sudah berjanji;
“…Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat.”
Al-Baqarah: 186

3# Terima Kenyataan

Berusahalah untuk menerima kenyataan bahawa ada perkara yang lebih baik akan berlaku pada masa depan.
Allah pasti merancang yang terbaik untuk kita. Maha Suci Allah dari bersifat kejam dan menganiaya hamba-hambaNya. Berilah harapan kepada diri bahawa akan ada cahaya menanti di hujung jalan.

4# Penuhi Waktu Dengan Perkara Berfaedah

Inilah waktu terbaik untuk mencari dan mencipta hobi serta minat baru yang berfaedah agar tidak larut terkenangkan perkara lepas.
Sertailah aktiviti dalam komuniti perumahan atau masjid. Contohnya, mendengar ceramah motivasi, menghadiri kelas menjahit, memanah atau bersedekah kepada orang miskin.

5# Hindari Semua Perkara Tentang Si Dia

Buang nombor telefon dan segala perkara atau kenangan berkaitan dengan si dia. Elakkan stalk akaun Facebook, Twitter, Instagram atau apa jua media sosial yang si dia miliki.
Pada mulanya mungkin agak sukar, namun alah bisa tegal biasa. Lama-kelamaan, pasti segalanya akan berjalan dengan lancar. Yakinlah, bahawasanya Allah swt mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita.

6# Berkongsi Cerita Hati

Berkongsilah kisah kita dengan ahli keluarga dan sahabat yang boleh dipercayai. Menangislah untuk melegakan perasaan, tetapi elakkan dalam tempoh yang panjang. Paling penting, bantulah diri sendiri untuk keluar dari penderitaan.
Hayati madah cinta Allah ini,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka. ”
(small)Ar-Rad:11

7# Elakkan Lagu Jiwang Atau Patah Hati

Sebaiknya elakkan mendengar lagu yang sedih, hiba atau sebarang lagu yang mengingatkan diri kita dengan si dia.
Gantikan dengan lagu bermotivasi untuk lebih positif, atau lebih baik gantikan lagu yang sering kita dengar dengan irama berbentuk selawat Nabi SAW atau zikrullah yang banyak terdapat di You Tube.

8# Mengembara (Travel)

Mengembara adalah salah satu cara terbaik membina keyakinan diri dan bermuhasabah terhadap nikmat yang telah kita perolehi. Betapa ramai mereka di luar sana yang bernasib lebih malang, tetapi tetap bersemangat menjalani kehidupan.
Berjalan dan perhatikanlah betapa luasnya rahmat Allah pada hambaNya.
“Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal berlayar di laut dengan nikmat kurniaan Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.”
Luqman: 31
Kesedihan daripada hubungan yang terputus di pertengahan jalan ini hanyalah sementara. Anggaplah ia sebagai suatu proses kehidupan untuk menjadikan diri kita lebih matang dalam segala tindakan, sikap, perilaku, kawalan emosi dan sebagainya.
Anggaplah ini adalah salah satu ujian dari Allah swt untuk mengajar kita menjadi hambaNya yang lebih baik dari sebelumnya. Mungkin, sebelum ini cinta manusia membuatkan hati kita berpaling daripada mencintaiNya, lalu Allah swt menyelamatkan kita agar tidak terus terleka dengan hal tersebut.
Juga, sebagai ingatan kepada diri agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang hanya mensia-siakan masa dan usia muda. Bukankah keadaan sesebuah negara itu bergantung pada keadaan pemuda pemudi masa kini?
Justeru itu, bagi mereka yang mengalami hal seumpama ini berdoalah agar dibukakan pintu hati untuk melihat hikmah pada setiap kejadian. Kawallah pemikiran kita untuk berfikir lebih positif terhadap segala perkara yang berlaku ke atas diri.
Sesungguhnya, kita hanya merancang dan Allah swt adalah sebaik-baik perancang. Wallahua’lam.
KONGSIKAN TAZKIRAH INI

Marina M. Arus



iklan berbayar




iklan

0 Response to "8 Tips Untuk ‘Move On’ Selepas Putus Cinta Manusia agar anda tidak kecewa dengan ketentuanNYA."

Post a Comment