Zakat KWSP adalah antara zakat yang kurang diberi perhatian oleh masyarakat. Ini kerana, pencarum yang terdiri daripada pekerja tidak sedar bahawa mereka memiliki harta terpendam yang wajib untuk disalurkan kepada golongan yang berhak.
EKSKLUSIF · LEMBAGA ZAKAT SELANGOR · 17 DEC 2016
“Eh! Man, gembira nampak? Dapat durian runtuh ke?” soal Hafiz cuba mengusik sahabatnya, Rahman yang sedari tadi tersenyum sendirian.
“Mestilah, aku pilih skim pencen. Tadi aku semak duit KWSP dah masuk ke dalam akaun. Kaya aku, Hafiz.” balas Rahman sambil tersengih.
“Alhamdulillah, boleh belanja kawan. Sebelum tu nak tanya, kau dah bayar belum zakat KWSP?”
“Hah? KWSP pun kena zakat ke?”
“Mestilah ada Rahman. Kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, seseorang itu tidak dianggap mencapai kesempurnaan dalam beribadah selagi dia tidak menunaikan hak manusia yang ada pada dirinya. Salah satu hak manusia itu adalah zakat.”
Tuntutan Zakat Dalam Islam
Menurut Yusuf Al-Qaradhawi,
“Zakat adalah hak Allah, hak fakir miskin dan seluruh orang yang berhak menerimanya.”
Hak ini adalah perintah Allah yang ada disebut di dalam Al-Quran. Antaranya ialah Surah Al-Baqarah, ayat 43:
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
Tahukah anda bahawa perkataan Zakat disebutkan lebih kurang 37 kali di dalam Al-Quran? Dan ayat tersebut pasti digabungkan bersama-sama dengan solat. Setiap ayat Allah ini mesti ada sebabnya dan pasti impaknya begitu besar dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah. Mengapa?
Pengertian Zakat dan Jenisnya
Zakat jika dihuraikan dari segi syarak, bermaksud mengeluarkan sebahagian harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.
Di dalam surah At-Taubah ayat 60, Allah telah menjelaskan 8 golongan yang layak menerima zakat iaitu orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.
Zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Manakala di bawah zakat harta, terdapat 7 jenis zakat pula iaitu:
- Zakat pendapatan
- Zakat perniagaan
- Zakat wang simpanan
- Zakat emas dan perak
- Zakat saham
- Zakat KSWP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)
- Zakat takaful
Daripada 8 jenis zakat yang disebutkan, zakat KWSP adalah antara zakat yang kurang diberi perhatian oleh masyarakat. Ini kerana, pencarum yang terdiri daripada pekerja tidak sedar bahawa mereka memiliki harta terpendam yang wajib untuk disalurkan kepada golongan yang berhak.
Cara Penggiraan Zakat KWSP
#1 – Fahami 3 Bentuk Pengeluaran
Jadi, bagaimanakah cara untuk melunaskan zakat KWSP ini? Terdapat tiga bentuk pengeluaran KWSP yang harus diketahui iaitu:
i. Pertama pengeluaran sebelum usia wajib, yang dikeluarkan demi melunasi beberapa keperluan tertentu, antaranya: Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan, Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Meninggalkan Negara, Pengeluaran Pendidikan, Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan, Pengeluaran Pelaburan Simpanan Ahli, Pengeluaran Membina/ Membeli Rumah, Pengeluaran Simpanan Melebihi RM1 Juta, Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Perumahan Fleksibel, Pengeluaran Kesihatan dan Pengeluaran Haji.1
Dalam hal ini, zakat masih dikenakan ke atas jumlah pengeluaran berkenaan, kecuali bagi pengeluaran yang bersifat keperluan yang amat mendesak seperti mendapatkan rawatan yang menelan kos yang sangat tinggi.
ii. Pengeluaran kedua adalah pengeluaran semasa usia 50 tahun bagi Akaun Kedua KWSP. Ketika ini, penyimpan dibenarkan mengeluarkan sama ada sebahagian mahu pun semua simpanan di dalam Akaun Keduanya.
iii. Manakala pengeluaran ketiga adalah pengeluaran ketika usia wajib bersara iaitu 55 tahun. Pada ketika ini, seseorang penyimpan itu boleh sama ada mengeluarkan sebahagian atau semua wang KWSPnya.
#2 – Sempurna Milik
Simpanan KWSP wajib dizakatkan hanya apabila ia sudah berada dalam tangan pencarumnya/sudah boleh dimiliki tanpa halangan atau sempurna milik. Selagi mana wang itu masih berada dalam simpanan KWSP, maka tidak wajib dizakatkan kerana kurangnya satu syarat, iaitu tiada sempurna milik ke atas wang berkenaan.
Ini kerana, bagi mengeluarkan KWSP bukanlah semudah mengeluarkan wang dari bank simpanan. Hanya mereka yang memenuhi syarat-syarat pengeluaran boleh mengeluarkannya, maka itulah halangan kepada pemilik sehingga mengurangkan salah satu syarat wajib zakat ke atasnya, iaitu sempurna milik.2
Namun, apabila wang itu sudah dikeluarkan, misalnya untuk tujuan perumahan dan pendidikan atau wang KWSP itu sudah boleh dikeluarkan ketika usia 50 atau 55 tahun, maka waktu itu cukup sempurnalah sudah segala syarat wajib zakatnya (datangnya sifat sempurna milik), sehingga wajiblah bagi penyimpan mengeluarkan zakat ke atas wang KWSP itu.
Maka, sesuai dengan amalan fikah di Malaysia umumnya, harta-harta pendapatan ini hendaklah dikeluarkan sejurus ia diperoleh, iaitu ia dizakatkan pada tahun semasa ia diperoleh tanpa perlu menunggu sehingga setahun dimiliki dan tidak perlu cukup haul.
#3 – Cara Penggiraan Zakat KWSP Dengan Merujuk Kepada 3 Jenis Pengeluaran
i. Zakat KWSP bagi pengeluaran untuk keperluan tertentu:
Pada tahun 2013 Adi mengeluarkan RM2,500 wang KWSPnya untuk membeli komputer riba dan RM5,500 untuk tujuan membayar ansuran rumahnya. Maka jumlah pengeluaran wang KWSP Adi ialah RM8,000. Adi hendaklah mencampurkan RM8,000 itu dengan lain-lain wang pendapatan pada 2013, seperti gajinya.
Setelah dicampurkan, katakan RM8000 + RM35500 (gaji) = RM43500, dan jumlahnya telah melebihi nisab. maka Adi perlu mengeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 %.
Dalam 2013 itu juga, tiba-tiba Adi mengeluarkan RM45,000 wang KWSPnya untuk menampung kos pembedahannya di hospital yang berjumlah RM80,000. Maka, dalam kes ini, Adi tidak perlu mengeluarkan zakatnya kerana ternyata dia amat terdesak dan wang KWSP-nya tidak pun cukup bagi menampung keseluruhan kos pembedahannya, sehingga memerlukan Adi untuk berhutang atau memohon lagi bantuan daripada lain-lain pihak bagi memenuhi kos pembedahan berkenaan.
ii. Zakat KWSP apabila sudah mencapai usia 50 tahun:
Adi sudah boleh mengeluarkan semua wangnya dalam Akaun Kedua tanpa apa-apa halangan. Maka ketika itu, sama ada Adi mengeluarkannya ataupun tidak, wang KWSP di dalam Akaun Keduanya itu sudah pun menjadi miliknya atau sempurna milik. Maka wajib dikenakan zakat KWSP ke atas seluruh wang di dalam Akaun Kedua tersebut.
iii. Zakat KWSP apabila sudah mencapai usia 55 tahun:
Sama ada Adi mahu atau tidak, dia sebenarnya sudah boleh mengeluarkan kesemua wangnya di dalam KWSP. Maka ketika itu, dia sebenarnya sudah sempurna milik ke atas semua wangnya dan zakat dikenakan ke atas seluruh wang simpanan Adi di dalam KWSP.
Amil yang Diperintahkan Allah
Di dalam Surah At-Taubah, ayat 60 jelas menunjukkan bahawa Amil ialah orang yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengurus kutipan zakat. Kerana itu, mereka yang menggalas amanah ini mesti melalui prosedur-prosedur tertentu, beretika juga berkebolehan sebelum mendapat pentauliahan daripada Pusat Pungutan Zakat mengikut negeri.
Tidak timbul isu percaya atau tidak dengan cara pengurusan institusi ini kerana kita sebagai hamba-Nya telah dituntut untuk mengeluarkan zakat kepada pihak yang sepatutnya.
Maka, penuhilah hak Allah ini mengikut apa yang telah disyariatkan, bertawakal dan berdoalah agar zakat kita diterima Allah dan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Sembunyikan Kebaikan Itu
Zakat juga bermakna bertambah atau berkembang. Justeru, seeloknya kita membayar zakat kepada mereka yang telah dilantik kerana golongan yang layak menerima zakat memerlukan wang bantuan secara sistematik dan berterusan.
Jika kita memberi zakat kepada individu-individu tertentu, dikhuatiri mereka hanya mampu menggunakan wang tersebut sekali sahaja kemudian terpaksa mencari wang lain setelah habis digunakan.
Bahkan Abu Hurairah r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya …(dan disebutkan salah satu dari mereka)… dan mereka yang bersedekah kemudian menyembunyikan sedekahnya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.”H.R Al-Bukhari
Keluarkanlah Zakat Sebelum Tidak Sempat
Zakat adalah hak milik Allah. Jangan bertangguh-tangguh untuk melunaskannya. Takut nanti kita ‘pergi’ tanpa sempat mengeluarkannya dan kelak kita berada dalam kehinaan.
Tidak sesekali kita jatuh miskin dengan berzakat, itu janji Allah pada kita. Zakat adalah cara untuk menyucikan harta serta jiwa. Bahkan menjadikan kita sebagai hamba yang peduli dengan kebajikan insan lain di dunia. Inilah yang dikatakan Habluminallah Habluminannas. Semoga Allah mengampuni kita, menerima amal ibadah kita dan zakat kita diterima-Nya. Amin.
Sudahkan Anda Tunaikan Zakat KWSP?
Rujukan
1. Laman web kwsp.gov.my
2. Utusan Kupasan Zakat KWSP
3. Fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Negeri Selangor 2013, hal. 34
Sumber gambar: Hameed Flickr, Kez West
KONGSIKAN TAZKIRAH INI
Nama Penuh:
Advertise
Berminat dengan plan kewangan terbaik?
plan pengurusan tabung simpanan pendidikan anak2, plan pengurusan risiko perubatan dan plan simpanan persaraan.
Boleh whatsapp 011-21691878 untuk persaraan yang bergaya.
Sila nyatakan:
Nama Penuh:
Tarikh Lahir:
Pekerjaan:
Pendapatan Bulanan:
No Telefon:
Kami akan janakan 'quotation' untuk anda!
Ferdaus mohamed,
011-21691878.
BBA(Hons) in Islamic finance,
Aia Takaful Life planner,
011-21691878.
BBA(Hons) in Islamic finance,
Aia Takaful Life planner,
'pakar pengurusan risiko kewangan anda'
Twitter
iklan berbayar
iklan
0 Response to "Ini Perkara Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Zakat KWSP"
Post a Comment