“MENJELANG bulan Ramadan, roh orang beriman dibenarkan pulang ke dunia bagi mengutip pahala yang dihadiahkan kepada mereka.” Itulah antara mesej berantai yang banyak tersebar dalam media sosial pada bulan Ramadan ini.
Ilmu masuk mencurah-curah ke dalam telefon pintar bak hujan mengalir deras tanpa perlu menunggu kuliah di masjid dan surau. Begitu pun, fitnahnya juga tidak kurang hebat kerana sindrom “kemaruk berkongsi tazkirah dan informasi” tanpa tapisan. Pantang ada tazkirah yang diterima terus mahu dikongsi. Tanpa sedar rupanya yang disangka mutiara ilmu adalah hadis dan fakta palsu yang sangat beracun untuk minda.
Antara tazkirah media sosial yang sangat popular saat ini adalah tazkirah ajaib berkaitan kepulangan roh manusia pada bulan Ramadan. Setakat yang dilihat, pihak yang menyebar mesej ‘Kepulangan roh pada bulan Ramadan’ tidak menyatakan dalil atau hujah yang sahih atas dakwaan tersebut. Mungkin ini berpunca daripada salah faham terhadap makna perkataan ‘roh’ dalam ayat keempat surah al-Qadar yang bermaksud: Pada malam itu, turun malaikat dan ‘roh’ (iaitu Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). (rujuk al-Qadar: 4)
Roh dalam ayat ini bukan roh manusia seperti yang disangka, tetapi suatu gelaran kemuliaan kepada malaikat Jibril. Bukan sekali Jibril digelar ‘roh’ oleh al-Quran tetapi berkali-kali (al-Baqarah: 87 & 253, al-Ma’idah: 110, al-Nahl: 102, al-Syu’ara’: 192-193 dan al-Naba’: 38)
Selain itu, wajib diingat perihal roh adalah rahsia Allah yang tergolong dalam urusan ghaib. Pengetahuan kita mengenainya pun sangat sedikit, jadi usahlah terlebih bijak daripada Allah. (rujuk al-Isra’: 85)
Sebarang bicara mengenai yang ghaib wajib bersandarkan sumber wahyu seperti al-Quran dan hadis sahih. Tidak cukup sekadar berkata ‘ia ada disebut dalam kitab’ atau ia pernah dikongsi oleh Pak Ustaz dalam media sosial. Fahamilah disiplin ilmu Islam ditegaskan melalui surah al-Naml ayat 65.
Al-Quran menegaskan roh orang yang sudah mati terkurung di alam barzakh sehingga kiamat. Tidak boleh balik semula ke dunia, tidak untuk balik mengutip ‘pahala-siswa’ pada bulan Ramadan atau malam Jumaat dan jauh sekali untuk pulang menjadi hantu membalas dendam. Akurlah kepada firman Allah ini pada surah al-Mu’minun ayat ke-99 hingga 100.
Malahan barzakh itu sendiri dalam takrifnya bermaksud dinding pemisah yang menghalang roh si mati daripada kembali ke dunia. (Tafsir al-Jalalayn)
Jika dikata yang bebas adalah roh manusia yang beriman. Apa dalilnya? Tambahan pula nikmat alam barzakh yang dirasai orang beriman jauh lebih hebat daripada nikmat duniawi. Jadi apa perlunya mereka pulang ke dunia mencari yang biasa serta meninggalkan yang istimewa? Jika dikata pulang mereka adalah untuk mengutip pahala sedekah anak cucu, maka jawabnya penyaluran pahala boleh sahaja dialirkan terus ke alam barzakh tanpa perlunya mereka balik.
Jika dikatakan ada hadis sahih menyebut orang yang sudah mati masih mampu mendengar sebagaimana bicara Nabi SAW kepada bangkai kafir quraysh yang terbunuh selepas perang Badar (Sahih Muslim), maka fahamilah hadis itu dengan betul. Rasulullah SAW menyatakan mereka mampu mendengar dan bukannya mampu balik ke dunia selepas mati.
Jika dikatakan ada riwayat menyebut orang hidup bermimpi bertemu orang mati, perlu difahami ini juga bukan dalil roh si mati pulang ke dunia. Ini adalah pertemuan di suatu alam yang hanya Allah sahaja tahu. Sebahagian ulama menyebut ketika manusia tidur, Allah mempertemukan roh orang yang hidup dengan roh orang yang sudah mati di suatu alam bandingan yang dikenali sebagai ‘alam mithal’ dan bukannya roh si mati itu kembali ke dunia. Prinsip perbincangan mengenainya berpaksi pada ayat ke-42 surah al-Zumar.
Jika dikatakan ada sebuah hadis lemah menyebut mengenai kepulangan roh pada bulan Ramadan, maka jawabnya hadis lemah tidak boleh menjadi hujah agama, apatah lagi untuk menyanggah ayat 99 dan 100 surah al-Mu’minun di atas.
Begitu pun, walau berjela diberikan hujah naqli (wahyu) dan aqli (logik) menafikan kepercayaan karut ini, orang jahil yang tiada disiplin ilmu Islam akan menyanggah dengan ayat `seribu guna’ mereka iaitu: “Ia tidak mustahil pada kekuasaan Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa. Boleh sahaja Allah dengan kuasanya yang tidak terbatas membebaskan roh yang beriman pada bulan Ramadan atau malam Jumaat.”
Jika begitu logik mereka, maka ini jawapannya: “Malam tadi saya didatangi Jibril as. Jibril memeluk saya erat sambil mengajarkan saya surah al-‘Alaq. Sejurus selepas itu saya dilantik sebagai nabi akhir zaman selepas Nabi Muhammad SAW.”
Menyanggah hukum
Jadi, anda semua perlu beriman kepada kerasulan saya. Jika ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan saya sebagai Rasul, maka ini hujah ‘seribu guna’ saya: “Ia tidak mustahil pada kekuasaan Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa. Boleh sahaja Allah dengan kuasanya yang tidak terbatas melantik saya sebagai Nabi akhir zaman selepas Nabi Muhammad.”
Inilah antara contoh ‘disiplin caca-marba’ dalam agama yang diguna pakai oleh sesetengah orang jahil. Memang Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, tetapi perlu dipahat kemas dalam hati bahawa Allah juga sudah meletakkan sunnatullah atau undang-undang-Nya yang tidak akan diubah. (rujuk al-Ahzab: 62)
Antara sunnatullah yang tidak akan berubah sampai kiamat adalah Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul terakhir. Juga roh orang yang sudah mati tidak boleh pulang sama sekali ke dunia untuk apa sahaja tujuan.
Sebarang dakwaan menyanggah hukum dan undang-undang Allah ini wajib ditolak. Jika tidak, agama suci ini akan jadi ‘agama secukup rasa’ yang bergantung kepada penganutnya. Jika mahu lebih pedas tambahlah cilinya. Jika mahu lebih masin, tambahlah garamnya. Jika mahu lebih manis, tambahlah gulanya. Jika ini disiplin memahami agama ini, hilanglah keagungannya dan runtuhlah kegemilangannya.
iklan berbayar
iklan
0 Response to "MENJELANG Bulan Ramadan, Roh Orang Beriman Dibenarkan Pulang Ke Dunia Bagi Mengutip Pahala. BENARKAH??"
Post a Comment