Assalamualaikum sidang pembaca yang budiman sekalian,
Sekali lagi bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya saya masih lagi diberikan kesempatan dan kekuatan untuk terus menulis di blog ini. Terima kasih saya ucapkan kepada anda juga kerana sudi meluangkan masa menjengah blog ini dan mencedok sedikit ilmu yang ada di dalamnya.
Baiklah, dalam artikel kali ini, saya akan menulis perkara-perkara yang berkaitan dengan persoalan tentang jin pendamping, atau dipanggil sebagai Qarin. Mungkin anda sendiri tertanya-tanya, benarkah persoalan Qarin ini? Apakah kebenarannya itu bersandarkan dalil dari al-Quran dan Sunnah, atau sekadar cerita kosong?
Jadi, perkara inilah yang akan saya kongsikan dengan anda. Untuk makluman anda, sebelum kita pergi jauh persoalan Qarin ini, ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan di sini.
Satu: Tentang semua manusia mempunyai Qarinnya sendiri (pendamping). Untuk memberikan pencerahan tentang perkara ini, sebaiknya saya bawakan di sini dalil dari al-Quran. Antaranya ialah firman Allah:
“Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang darinya” (Surah az-Zukhruf, ayat 36. Terjemahan dari kitab Tafsir Pimpinan ar-Rahman)
Dari terjemahan di atas, dapat kita fahami yang dimaksudkan dengan qarin ialah syaitan yang terus menggodanya, melalaikan dan menyesatkannya. Dan terdapat di dalam hadis Rasulullah s.a.w:
“Tiada seorang pun dari kalian kecuali telah diwakilkan kepadanya Qarin dari kalangan jin”. Sahabat bertanya, “Juga kepada engkau wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Juga kepadaku namun Allah telah membantuku sehingga Qarinku masuk Islam (boleh juga diterjemah sehingga aku selamat darinya). Maka dia tidak menyuruhku kecuali hanya dengan kebaikan”. (Dikeluarkan oleh Imam Muslim dari Ibnu Mas’ud)
Juga pada suatu hari ‘Aisyah r.ha berasa cemburu terhadap Rasulullah s.a.w kerana baginda keluar pada waktu malam, maka baginda telah bersabda:
“Apakah syaitanmu telah mendatangimu?” Lalu Aisyah menjawab, “Wahai Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan?” Lalu baginda menjawab, “Ya”. Aisyah bertanya, “Apakah bersama setiap manusia?”. Baginda menjawab, “Ya”. Aisyah bertanya, “Juga bersama engkau wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Ya, tapi Allah membantuku terhadapnya sehingga aku selamat”. (Dikeluarkan oleh Imam Muslim)
Dua: Penjelasan tentang adanya qarin pada semua manusia adalah berupa peringatan kepada kita supaya kita berhati-hati dan dapat menghindari fitnah dan penyesatannya, sekaligus kita dapat menjauhkan diri kita daripadanya dan dapat melaksanakan segala ketaatan dan mengingati Allah s.w.t.
Tiga: Kewujudan jin adalah satu kepercayaan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun. Ini kerana kewujudan mereka adalah bersandarkan kepada dalil dari al-Quran dan as-Sunnah. Maka adalah tidak boleh bagi kita yang beriman menggunakan istilah-istilah seperti puntianak, langsuir, pucung, toyol dan sebagainya kerana hakikatnya perkara ini tidak wujud. Jika ada pun yang pernah melihatnya, ini adalah khayalan dan tipu daya yang dilakukan oleh jin dan syaitan.
Syeikh Saleh Al-Fauzan hafizahullah pernah ditanya:
Apa makna riwayat yang menyebutkan bahwa setiap manusia memiliki pendamping (qarin) dari kalangan jin. Apakah benar bahawa qarin tersebut dapat memberitahu kepada manusia tentang perkara-perkara yang telah terjadi atau yang akan terjadi dalam waktu dekat?
Lalu beliau menjawab:
Adapun yang mengetahui sesuatu yang akan datang maka tidak seorang pun yang mengetahuinya kecuali Allah, tidak seorang pun yang dapat memberitahu tentang hal ini, baik jin maupun manusia. Alam ghaib itu hanya milik Allah Azza wajalla,
“Dialah yang mengetahui alam ghaib, maka Dia tidak menampakkan alam ghaib itu kepada siapapun.” Sebagaimana yang terdapat pada surah ini.
Adapun masalah setiap manusia memiliki qarin dari kalangan jin dan qarin dari kalangan malaikat maka hal itu benar, setiap manusia memiliki qarin dari malaikat yang membimbingnya kepada kebaikan dan qarin dari kalangan jin dan syaitan yang mengarahkannya kepada keburukan, mana yang lebih kuat maka dia yang berjalan bersama manusia itu sebagai ujian dan cubaan dari Allah Azza Wajalla.
Syaikh Saleh Al-Fauzan hafizahullah juga pernah ditanya:
Apakah dapat diambil dari kisah kaum jin yang mendengar Al-Qur’an dari Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam, bahwa kaum jin yang mukmin mereka hadir ketika dibacakan Al-Qur’an di masjid-masjid, dan di berbagai tempat-tempat perkumpulan di saat al-Qur’an dibacakan?
Beliau menjawab:
Ya, kaum jin yang mukmin menghadiri pelajaran-pelajaran, mereka juga menghadiri bacaan al-Qur’an bersama saudara-saudara mereka dari manusia, mereka hadir, meskipun kita tidak dapat melihat mereka namun mereka hadir.
Kredit info: Fadhli Ihsan
iklan berbayar
iklan
0 Response to "Persoalan Berkaitan Dengan Jin Pendamping (Qarin)"
Post a Comment