13 Amalan Rahsia Mempercepatkan Jodoh





“Oh, dimanakah bakal imamku?” “Ahh, pabila terpandang dia, rusuk kiriku terus bergetar..” Itulah antara celoteh dan senda gurau yang sering kita dengar dalam kalangan...

“Oh, dimanakah bakal imamku?”
“Ahh, pabila terpandang dia, rusuk kiriku terus bergetar..”
Allah sudah ada rencana yang lebih baik soal jodoh kita. [Abby]
Allah sudah ada rencana yang lebih baik soal jodoh kita. [Abby]
Itulah antara celoteh dan senda gurau yang sering kita dengar dalam kalangan muda mudi hari ini. Soal jodoh pasti menjadi bualan harian, terutamanya kepada yang masih belum bertemu pasangan sehidup semati mereka.
Ada yang terus-menerus mencari. Ada juga yang berserah sepenuhnya. Jodoh itu rahsia Allah. Namun, perlu ada doa seiring usaha termasuklah 13 amalan rahsia ini yang boleh anda cuba amalkan untuk ditemukan jodoh.

#1 – Jaga Solat di Awal Waktu

Seringkali terdetik di hati kita, bilakah tibanya jodoh kita. Oh lambatnya. Tapi ada tak kita terfikir, saat azan kedengaran, adakah kita masih leka dengan urusan dunia? Kita inginkan jodoh kita segera bertandang, namun dalam masa yang sama, kita terlupa untuk bersegera menyahut panggilan-Nya di saat Dia memandang.
Rasullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah”Riwayat al-Tirmizi

#2 – Betulkan Niat Perkahwinan

Mungkin ada yang berkahwin adalah semata-mata kerana nafsu dan tuntutan keduniaan yang lain. Ada juga kerana harta. Namun, apakah sebenarnya tujuan kita berkahwin?
Niatlah bahawa kita berkahwin adalah untuk mendapat redha Allah semata-mata kerana-Nya. Untuk dapat kasih sayang Allah, cinta Allah. Sia-sia hidup kita jika tidak mendapat redha Allah. Itulah sebenarnya matlamat hidup kita.

#3 – Baca Surah Yaasin Setiap Pagi

Surah Yaasin merupakan hati atau jantung al-Quran. Biasanya surah Yaasin kerap dibaca pada malam Jumaat atau ketika melawat orang sakit atau yang meninggal dunia. Namun, surah ini jika diamalkan setiap hari, banyak manfaat yang bakal kita dapat.
Allah akan mudahkan segala urusan hati itu. Yang tiada jalan keluar pun Allah akan permudahkan. InsyaAllah.

#4 – Baca Surah al-Waqiah Setiap Malam
Amalan surah al-Waqiah akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah termasuklah jodoh. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya:
“Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.”Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.

#5 – Berterus-terang

Ada sahaja dalam kalangan kita sudah berkenan kepada seseorang, namun hasrat itu dipendam sahaja. Akhirnya, si dia dimiliki orang lain. Menyesal pun tiada guna. Jika sudah ada pilihan hati, teruskan melangkah.
Yang lelaki, terus terang sajalah kepada keluarga si perempuan. Hantar rombongan merisik. Jika dialah orangnya, maka bersegeralah untuk berkahwin.
Yang perempuan pun boleh saja memulakan langkah walau mungkin akan dikatakan perigi mencari timba. Namun, perlu melalui perantaraan atau orang tengah juga. Selebihnya serahkan saja pada Allah. Jika tak berjaya, ingatlah bahawa ada yang lebih baik Allah sediakan untuk kita.

#6 – Jaga Ibu Bapa Dengan Baik

Redha Allah terletak pada redha ibu bapa kita. Sementara mereka masih ada, berkhidmatlah kepada mereka sehabis baik. Layan dan jaga mereka dengan penuh kasih sayang.
Dan yang paling penting ialah doa mereka. Pasti kita semua tahu, doa ibu bapa tiada hijab di sisi Allah. Saat kita sentiasa berbakti kepada mereka, dan mereka bahagia serta redha dengan kita, saat itulah doa kita mungkin dimakbulkan Allah. Bagitahu saja yang kita ingin berkahwin dan mintalah mereka untuk doakan kita yang terbaik. InsyaAllah akan dipermudahkan segalanya.

#7 – Jangan Terlalu Memilih

Kadang-kadang sikap terlalu memilih yang sempurna juga melambatkan jodoh kita untuk datang. Ada yang sudah dirisik oleh calon yang sesuai dan dia bersedia untuk terus menikah, namun ditolak disebabkan faktor-faktor tertentu.
Jodoh kita sebenarnya cerminan diri kita. Masing-masing ada kelemahan dan kekuatan tersendiri. Asalkan agamanya dan akhlaknya baik dan mereka datang dari keluarga yang baik-baik, itu sudah cukup untuk dijadikan pilihan.

#8 – Cari Kebaikan Orang Lain

Kita semua tiada apa-apa kerana semuanya milik Allah. Jauhi sikap memandang rendah kepada orang lain dan berbangga dengan apa yang kita ada. Kita semua sama. Allah boleh beri dan ambil bila-bila masa yang Dia mahukan.
Cari kebaikan semua orang dan cari silap diri sendiri. Dengan memandang dan melayan sesiapa sahaja dengan kebaikan, maka yang akan datang semula kepada kita ialah kebaikan juga. Konsep jodoh juga begitu.

#9 – Tahajjud Setiap Malam

Bangunlah di sepertiga malam. Jika tidak mampu, cukup sekadar dua rakaat. Beberapa minit sebelum Subuh masih sempat untuk kita amalkan. Itu juga sudah dikira sebagai tahajjud. Dan berdoalah. Doalah apa saja.
Allah sayang hamba-Nya yang sentiasa bertahajjud dan meminta doa kepada-Nya. Di saat insan lain terlena, kita bangun dan beibadah kepada-Nya. Dan cubalah untuk menangis setiap kali kita bertahajjud. Dengan izin Allah, doa kita sangat makbul saat kita berserah segalanya dan merayu kepada-Nya.

#10 – Maafkan Semua Orang

Maafkan semua orang dan minta maaf kepada mereka walaupun kita tidak melakukan apa-apa kesalahan. Rasa sayang pada semua orang. Jika tak mampu atau ada yang tak kena di mata kita, doakan saja;
“Ya Allah, dia lebih baik daripada saya. Ubahlah apa yang buruk kepada yang baik”.
Jika di pejabat atau tempat kerja, sebelum pulang, amalkan meminta maaf kepada teman sepejabat, bos kita dan juga kenalan lain.
Jika di rumah pula, sebelum tidur, minta maaflah kepada ahli keluarga kita terutamanya ibu bapa. Hari-hari yang mendatang pasti akan lebih tenang dan gembira. Cubalah!

#11 – Banyakkan Senyum dan Sedekah

Senyum itu sebenarnya sudah sebahagian daripada sedekah. Senyum juga menarik orang di sekeliling untuk sukakan kita. Senyumlah kepada semua orang, tak kiralah siapa pun. Tapi jangan senyum-senyum ada makna pula ya. Pandangan tetap perlu dijaga.
Sedekah berupa wang, harta atau apa sahaja bantuan juga perlu diamalkan. Jangan kedekut untuk tolong orang, terutamanya keluarga kita sendiri. Orang yang suka bersedekah pasti akan mendapat ganjarannya. Hatinya tenang tanpa resah, malah rezekinya pasti berlipat kali ganda. Jodoh itu juga sebahagian daripada rezeki. Bersedekahlah!

#12 – Yakin

Soal jodoh, ajal, maut semuanya sudah ditentukan Allah. Mengapa perlu kita risau akan sesuatu yang telah ditetapkan Allah? Sebab itulah pentingnya untuk kita yakin dan percaya setiap perkara yang berlaku adalah dalam perancangan Allah. Allah kan sebaik-baik perancang.
Yakinlah semua perkara yang terjadi adalah kerana Allah sayang. Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang. Dia pasti berikan yang terbaik untuk kita. Siapa jodoh kita, bila datangnya jodoh kita dan sebagainya usahlah dirisaukan.

#13 – Menjauhi Perkara Haram dan Maksiat

Kita tidak bahagia saat kita berbuat dosa. Dosa kita itulah sebenarnya yang membuatkan kita jauh daripada Allah. Sebenarnya hidup kita akan bahagia saat kita sentiasa ingat akan Allah. Tidak semestinya saat kita sudah ada pasangan, barulah kita bahagia.
Islam itu mudah kepada orang yang hatinya kenal Allah. Hidup ini juga akan mudah saat kita kenal Allah. Bahkan perkahwinan juga akan mudah bila kita kenal Allah. Itulah kuasa Allah. Subhanallah.

Kesimpulan

Buat yang masih mencari jodoh, jangan mudah untuk berasa terasing di kala kawan seusia sudah berumah tangga, malah sudah mempunyai zuriat. Teruskan hidup seperti biasa. Ubah diri dan banyakkan usaha untuk menambah ilmu di dada.
Mungkin ini bukan masanya lagi. Mungkin Allah berikan masa untuk kita siapkan diri terlebih dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Yang paling penting sudah semestinya keyakinan dan berbaik-sangkalah kepada Allah. Allah sudah ada rencana yang lebih baik. Semoga kita semua ditemukan dengan jodoh yang baik dan berkekalan hingga ke syurga abadi. InsyaAllah.


iklan berbayar




iklan

0 Response to "13 Amalan Rahsia Mempercepatkan Jodoh"

Post a Comment