Bersentuhan Dengan Kanak-Kanak Bukan Mahram: Adakah Membatalkan Wudhu Atau Tidak? Inilah Jawapannya.







(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bukanlah suatu perkara  yang dirisaukan dan diragukan seseorang jika tersentuh dengan mahram di dalam  keadaan berwudhu.  Ini kerana ramai yang tahu bahawa wudhu tidak akan batal jika persentuhan berlaku antara sesama mahram.  Hukum syara‘ telah menetapkan wudhu seseorang tidak batal jika bersentuhan dengan mahram mu’abbad  (yang diharamkan nikah dengannya untuk selamanya), sama ada disebabkan keturunan, penyusuan mahupun perkahwinan seperti menantu dengan mertua.

Status  mahram ternyata membuatkan seseorang merasa yakin, sekaligus menolak keraguan  adakah wudhu masih sah atau batal apabila bersentuhan kulit  dengan yang berlawan jantina.

Umpamanya wudhu seorang ibu  tidak batal jika menyentuh anak kandung lelaki yang masih kecil ataupun yang sudah dewasa. Sebaliknya  kerisauan, keraguan dan kekeliruan itu adakalanya berlaku pada segelintir orang Islam  terutama mereka yang sering berhadapan dengan kanak-kanak  seperti guru tadika, jururawat
atau pengasuh anak.

Mereka tidak tahu  atau tidak pasti sama ada wudhu menjadi batal  disebabkan berlakunya persentuhan antara kanak-kanak yang berlawanan jantina  yang bukan dari kalangan mahram mereka ataupun tidak?  Adakah wudhu batal jika menyentuh, disentuh atau tersentuh kanak-kanak tersebut?

Bersentuhan  Kulit Antara Lelaki Dan Perempuan Membatalkan Wudhu

Pada dasarnya, menurut mazhab Syafi‘e,  bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan  adalah  antara perkara yang membatalkan wudhu.  Ketetapan ini bersandarkan kepada  firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:  “…Atau kamu bersentuh dengan perempuan (yang bukan mahram) lalu kamu tidak memperolehi air (untuk berwudhu atau mandi), maka bertayamumlah dengan tanah (debu) yang suci,  iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu (hingga ke siku) dengannya...” (Surah al-Ma’idah: 6)

Ayat di atas memerintahkan agar  berwudhu atau bertayammum - jika dalam keadaan ketiadaan air - untuk menghilangkan hadats akibat  berlakunya persentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.

Secara ringkasnya, yang dimaksudkan dengan bersentuh itu ialah:

1) Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan, hendaklah terdiri dari  orang dewasa atau orang yang sudah mencapai tahap memiliki syahwat.

2) Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan mahram.3) Bersentuhan selain dari rambut, gigi dan kuku kerana anggotaanggota tersebut tidak mendatangkan syahwat dengan
menyentuhnya sebagaimana pendapat ashah.

4) Bersentuhan langsung antara kulit iaitu tidak diselangi atau dialas oleh sesuatu seperti lapik atau baju sekalipun nipis.

5) Berlaku persentuhan sama ada  dengan menyentuh, disentuh mahupun tersentuh. Manakala yang dimaksudkan dengan lelaki  dan perempuan  itu  ialah lelaki  dan perempuan  yang  jelas mencapai  tahap memiliki  syahwat sebagaimana pada kebiasaan naluri semulajadi setiap manusia normal.

Oleh yang demikian, jika persentuhan kulit berlaku sebagaimana yang dimaksudkan di atas, maka wudhu menjadi batal dan tetap batal sekalipun persentuhan itu tidak disertai dengan rasa syahwat, tidak sengaja, lupa atau dalam keadaan terpaksa.

Wudhu juga batal meskipun bersentuhan dengan lelaki yang tidak cenderung terhadap perempuan, lelaki yang tidak lagi bersyahwat, perempuan tua yang tidak lagi bersyahwat atau tidak membangkitkan rasa syahwat apabila menyentuhnya.

Selain itu, wudhu juga batal dengan menyentuh atau tersentuh anggota  badan yang lumpuh,  anggota tambahan,  ataupun  orang mati. Akan tetapi wudhu orang mati adalah tidak batal.

Dalam perkara bersentuhan ini, kedudukan wudhu  orang yang menyentuh sama juga dengan orang yang disentuh iaitu batal ke atas kedua-duanya jika berlaku persentuhan antara mereka kerana kedua-duanya mengalami perkongsian rasa bersentuhan itu.

Bersentuhan Kulit  Dengan Kanak-Kanak Dalam Keadaan Berwudhu

Sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama, wudhu menjadi batal jika persentuhan  kulit  berlaku antara lelaki dewasa dan perempuan dewasa yang  dikatakan  mencapai  tahap memiliki syahwat mengikut ‘uruf (kebiasaan).

Ini bererti, wudhu tidak batal jika berlaku persentuhan kulit antara dua orang kanak-kanak kerana tidak ada kemungkinan syahwat. Berbeza halnya jika bersentuhan dengan lelaki atau perempuan yang cukup  tua, wudhu tetap batal walaupun tidak ada kemungkinan syahwat kerana mereka adalah antara orang sudah
mencapai tahap memiliki syahwat.

Jika persentuhan kulit itu berlaku di antara orang dewasa dan kanak-kanak, perlulah diperhatikan keadaan seperti contoh berikut:

Contoh:

Persentuhan kulit di antara A (lelaki dewasa) dan B (kanak-kanak perempuan);

1) Jika persentuhan kulit berlaku antara A dan B, maka wudhu kedua-duanya tidak batal kerana wudhu tidak batal jika persentuhan kulit berlaku dengan salah seorang darinya adalah kanak-kanak yang belum lagi mencapai had memiliki syahwat.

2) Jika persentuhan kulit berlaku  dan  secara  jelas  B sudah mencapai  had memiliki syahwat walaupun B masih di peringkat umur kanak-kanak pada kebiasaannya,  maka wudhu kedua-duanya (A dan B) batal dan tetap batal sekalipun tidak bersyahwat semasa persentuhan berlaku.

3) Jika persentuhan kulit berlaku dan tidak jelas  ( di luar pengetahuan)  adakah B sudah mencapai  had memiliki syahwat, maka wudhu kedua-duanya (A dan B) tidak batal kerana wudhu tidak batal jika merasa syak atau ragu sama ada perempuan atau lelaki  berkenaan  masih  dikira  kanak-kanak yang belum bersyahwat atau sebaliknya.

Perkara ini tertakluk kepada keyakinan seseorang. Keyakinan adalah disyaratkan dalam perkara ini. Dalam erti kata lain, wudhu tidak batal jika dihadiri rasa syak atau ragu adakah seseorang yang dengan  kita bersentuhan itu adalah dikira kanak-kanak ataupun sebaliknya.

Untuk memudahkan, berikut adalah perkara yang perlu diambil perhatian sebagai sukat-sukat dalam menilai seorang kanak-kanak itu menurut pandangan syara‘.

Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan Kanak-Kanak?

Secara amnya, menurut istilah para fuqaha, kanak-kanak itu ialah seseorang yang belum baligh. Baligh bermaksud kanak-kanak yang sudah cukup umur, iaitu apabila umurnya sudah mencapai 15 tahun ataupun kanak-kanak lelaki bermimpi sehingga keluar air mani, manakala kanak-kanak perempuan telah keluar haid dalam jangka umur antara 9 hingga 15 tahun.

Dari keterangan di atas, peringkat kanak-kanak itu ialah dari semenjak lahir sehingga mencapai peringkat baligh.

Terdapat dua peringkat akan dialami oleh setiap kanak-kanak normal iaitu:

1) Peringkat Belum Mumaiyiz: Bermula dari sejak kelahiran sehinggalah kanak-kanak itu mencapai umur mumaiyiz. Secara kebiasaannya kanak-kanak yang belum mumaiyiz ini berusia tidak lebih dari 7 tahun.

2) Peringkat Mumaiyiz: Bermula dari sejak kanak-kanak itu berkemampuan untuk membezakan di antara sesuatu dengan sesuatu yang lain,  dapat membezakan antara sesuatu yang bermanfaat dan yang memudaratkan.

Peringkat kanak-kanak yang mencapai tahap mumaiyiz tiada had umur yang tertentu tetapi berpandukan pada kebolehannya dalam menentukan setiap perbuatan yang hendak dilakukannya.  Berakhir peringkat ini apabila mencapai tahap baligh.

Dari satu sudut lagi, kanak-kanak itu ialah yang menurut kebiasaan umum tidak ada kemungkinan syahwat, lawan kepada dewasa iaitu orang yang telah mencapai had memiliki syahwat.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Syahwat?

Syahwat ialah perasaan atau naluri semulajadi yang ingin atau cenderung terhadap sesuatu dan sebahagian besarnya adalah perasaan atau naluri yang ingin atau cenderung kepada kelazatan.

Adapun syahwat yang dimaksudkan dalam konteks membatalkan wudhu ini adalah yang dinamakan syahwat  jinsiyyah iaitu gelora hati dan perasaan yang suka atau ingin terhadap kaum lawan jenis yang juga kadang-kadang bercampur baur dengan rasa keinginan sehingga boleh membangkitkan  rangsangan fizikal apabila
memandang atau memegang sesuatu.

Di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin disebutkan bahawa sukat-sukatsyahwat  bagi seorang lelaki  adalah dengan  adanya rangsanganfizikal pada anggota tertentu manakala bagi seorang perempuan adalah dengan  kecenderungan hati atau berkeinginan terhadap lelaki.

Batalkah Wudhu Jika  Bersentuhan Dengan Kanak-Kanak Bukan Islam?

Salah satu perkara membatalkan wudhu ialah bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan  yang bukan mahram dengan tidak berlapik.  Sebaliknya wudhu tidak batal jika persentuhan  kulit berlaku antara sesama jenis, sesama khuntsa, khuntsa dengan lelaki atau  khuntsa dengan perempuan sama ada mereka Islam atau
bukan Islam.

Demikian juga halnya dengan yang melibatkan kanak-kanak bukan Islam. Hukum  lelaki dewasa dan perempuan dewasa bersentuhandengan kanak-kanak bukan Islam adalah sama juga dengan kanak-kanak Islam dalam perkara wudhu ini sebagaimana menurut pendapat para ulama fiqh.

Berdasarkan keterangan di atas, apa yang dapat difahami, tiada had umur tertentu bagi menentukan kanak-kanak yang batal dan yang tidak batal wudhu apabila bersentuhan dengannya. Tetapi memadai dengan  berpandukan pada  keyakinan dan pengetahuan seseorang dalam menilainya serta dengan berpandukan kepada  ‘uruf atau kebiasaan sesuatu tempat dan masyarakat.

Wudhu tidak batal jika menyentuh atau tersentuh kulit bayi atau kanak-kanak yang  pada zahirnya tidak ada kemungkinan syahwat dan tidak menimbulkan syahwat.

Namun perlu diingat, wudhu akan tetap batal jika menyentuh atau tersentuh kemaluan walaupun kemaluan bayi atau kanak-kanak kerana menyentuh atau tersentuh kemaluan dengan jari atau bahagian dalam tangan (tapak tangan) yang tidak berlapik sama ada sengaja atau tidak sengaja juga merupakan antara perkara yang
membatalkan wudhu.

Selain itu, wudhu ahli keluarga angkat juga akan batal jika bersentuhan dengan anak angkat bukan susuan kepada ibu angkat apabila anak tersebut sudah mencapai tahap memiliki syahwat kerana kedudukan hubungan anak angkat dengan keluarga angkat tetap tidak berubah seperti asalnya. Dia tetap dianggap orang asing dalam lingkungan keluarga angkatnya kecuali  jika  ada pertalian mahram atau  setelah disusukan oleh ibu  angkatnya dengan  mengikut dan memenuhi syarat penyusuan yang ditetapkan syara‘.

iklan berbayar




iklan

0 Response to "Bersentuhan Dengan Kanak-Kanak Bukan Mahram: Adakah Membatalkan Wudhu Atau Tidak? Inilah Jawapannya."

Post a Comment