Artikel ini sesuai bagi individu yang memerlukan suntikan untuk menambah baik kenikmatan solat. Dan supaya solat mereka ada roh yang membuat mereka khusyuk tiap...
Artikel ini sesuai bagi individu yang memerlukan suntikan untuk menambah baik kenikmatan solat. Dan supaya solat mereka ada roh yang membuat mereka khusyuk tiap kali bertemu dengan Allah. Insya-Allah.
Ia adalah tip yang diberikan oleh mekanik kewangan, Abang Abu ketika saya menyertai salah satu program beliau. Walaupun dalam program itu, diajar tentang kewangan, namun alhamdulillah, kandungannya turut dikaitkan dengan kerohanian yang sebati dengan jiwa saya sebagai penulis Inspirasi KeTuhanan.
Sesungguhnya beruntunglah orang yang dikurniakan kekhusyukan ketika solatnya. Yang boleh ditakrifkan sebagai kemanisan beribadah. Rasa sangat seronok di saat bertemu dengan Allah. Berikut adalah 4 perkara yang anda perlu lakukan untuk peroleh kekhusyukan dalam solat:
#1 – Bertanya Allah Dulu (BAD)
Teknik BAD adalah nama yang saya perkenalkan yang mempraktikkan konsep berdialog dengan Allah. Berapa ramai antara kita yang sebelum solat, berdoa kepada Allah, dikurniakan solat yang khusyuk, rasa begitu nikmat ketika solat?
Pasti sangat minima. Kerana kebanyakan kita bersikap endah dan tidak endah, iaitu dengan berniat sahaja ibarat sudah meminta kepada Allah dikurniakan solat yang khusyuk.
Walau Allah Maha Mengetahui, tidak sepatutnya kita take for granted untuk meminta, berdoa kepada Allah dikurniakan solat yang khusyuk terlebih dahulu sebelum solat.
#2 – Hormat, Tertib dan Takut
Bayangkan kita pergi menghadap Yang Dipertuan Agong (YDP). Bagaimana cara kita? Pasti kita sangat hormat, tunduk dan sopan menghadap beliau. Kerana kita tahu, istana ada protokol yang sangat ketat.
Dan sebagai rakyat biasa, kita tidak boleh pergi begitu sahaja. Ada cara berpakaian, tertib yang kita perlu ikut sebelum menghadap beliau. Begitu dengan solat. Kita sedang nak menghadap Allah. Pemilik alam semesta.
Namun, seringkali kita menganggap perkara itu remeh. Seperti berjumpa Allah hanya dengan pakaian kotor dan tidak kemas. Sebaiknya kita menganggap Allah lebih baik dan tertib daripada berjumpa YDP. Lebih kemas, lebih berbau wangi ketika berjumpa Allah.
Andai kita keluar, kita gosok kemeja, gosok tudung, namun mengapa kita tidak gosok telekung atau baju solat kita ketika menunaikan solat? Ia adalah refleksi bagaimana kita meremehkan pertemuan kita dengan Allah.
#3 – Benar-Benar Berharap
Dalam bacaan solat, ada antaranya ibarat doa yang boleh kita baca dan rasakan pengharapan daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Seperti dalam surah Al Fatihah ayat 6 yang bermaksud,
“Tunjukilah kami jalan yang lurus.”
Rasakan kita betul-betul berharap. Dan rasa takut andai tidak dibimbing Allah. Hakikatnya kita ini manusia yang lemah tanpa Allah. Silap sedikit, kerana mengikut nafsu kita.
Adakalanya keputusan yang kita buat tidak bersandarkan Allah. Justeru penting dalam ayat seperti itu, kita rasakan dan minta Allah betul-betul bimbing kita dalam segala perkara.
Andai dihayati secara mendalam. Insya-Allah kita mampu menangis apabila kita ada perasaan mengharap kepada Dia supaya Dia sentiasa bimbing kita ke arah yang betul.
#4 – Sabar – Tukhmaninah
Air adalah antara elemen yang boleh membantu kita untuk berasa tenang. Dengan mengambil wuduk, ia akan membuat kita merendahkan gelombang beta (gelombang kabut dan huru-hara) kepada gelombang alpha (gelombang ketenangan).
Itulah hikmah di sebalik mengambil wuduk sebelum tidur, atau saranan memulihkan perasaan marah. Supaya kita mudah tidur, dan marah kita bertukar daripada gelombang beta (gelombang kabut) kepada alpha (gelombang tenang) semula.
Hanya dengan berasa tenang, kita akan peroleh kekhusyukan dalam solat. Ada suatu quote yang terkesan di hati,
“Don’t rush your solah for anything, as you’re standing in front of the one who’s in charge of whatever you’re rushing for.”
Yang merefleksi supaya kita jangan tergesa-gesa dalam solat, kerana kita sedang menghadap tuan empunya yang menguruskan apa sahaja yang kita tergesa-gesakan.
#5 – Syukur Dapat Solat
Tiap kali lepas solat, disarankan melakukan sujud syukur. Bukan sahaja kerana kita bersyukur dapat solat tetapi untuk semua nikmat Allah yang kita tidak minta pun Allah sudah beri, seperti oksigen, dan air.
Andai manusia, apabila kita gunakan barang dia tanpa minta izin, dia akan marah. Namun, adakah kita sedar, sudah berapa banyak nikmat Allah yang kita tidak minta izin tetapi kita tetap menggunakannya? Allahu akbar.
Andai kita belajar di luar negara, insya-Allah kita akan lebih menghargai solat. Kerana di sana tidak banyak surau seperti di Malaysia. Kita yang kena cari tempat yang sesuai untuk solat.
Adapun andai kita orang yang kerja di Kuala Lumpur, pasti ada situasi kadang-kadang terlepas solat Maghrib kerana kesesakan lalu lintas yang teruk. Kita hanya akan rasa nikmat apabila kita susah dapat solat. Justeru, penting bersyukur tiap kali dapat solat.
Insya-Allah apabila 5 perkara di atas digabungkan ketika menunaikan solat, kita akan peroleh kekhusyukan dalam solat.
KONGSIKAN TAZKIRAH INI
iklan berbayar
iklan
0 Response to "5 Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Jika Mahu Khusyuk Di Dalam Solat"
Post a Comment